HARAPAN & BINA LEGASI (Bhg 1)

0
231

Siri Motivasi Kehidupan – Bina Legasi Bahagian 1

Oleh: Ustaz Mohd Jakfar Embek

Ingin Bina Impian?

Istilah HARAPAN adalah satu kalimah keramat di Malaysia hari ini. Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika dibebaskan daripada penjara dan di “bersihkan” daripada semua kesalahannya berkata “it’s a new dawn for Malaysia… ” (ia adalah fajar baru bagi Malaysia). HARAPAN yang dahulunya disangsi, kini menjadi harapan yang nyata.

Bina Impian Tinggi

Renungi sepotong ayat al Quran dalam surah Shad, 38: 35.   

Wahai Tuhan ! Ampunilah aku dan anugerahilah kepadaku kedaulatan (kuasa), yang tidak dimiliki pada mana-manapun selepasku. Sesungguhnya Kau lah yang Maha Pemberi “. (Shad, 38: 35)

Setentunya ia berkaitan doa nabi Sulaiman a.s, sebagai HARAPAN atau aspirasi tinggi beliau agar Allah berikan tanggungjawab dalam bentuk “kuasa/kedaulatan yang tidak dimiliki pada mana-mana pun selepasnya”. Suatu bentuk harapan atau visi yang amat tinggi sudut kuasa fizikal (politik & kenegaraan) dan setentunya sebagai seorang nabi kuasa spiritual (mukjizat).

Dalam keratan bahasa Arab bermaksud; mimpilah – percayalah – beranilah – dan akhir sekali lakukanlah !!!. Saya akan katakan bahawa mereka yang punya impian tinggi adalah satu kualiti modal insan yang amat besar dan amat serius. Maka daripada keratan bahasa diatas formulanya adalah;

  1. Bina kepercayaan,
  2. Bina tekad daripada keyakinan yang ada,
  3. Bina keberanian dalam melalui setiap cabaran dan halangan,
  4. Berani menterjemah impian yang konseptual kepada realiti yang boleh diukur.
  5. Faham dan ada kejelasan, bukan sekadar impian peringkat rendah –keduniaan, tetapi impian tinggi di akhirat (spiritual).

Sebagaimana setiap orang lalui, semasa saya masih kecil usia 5 atau 6 tahun, saya diasak dengan soalan cepumas “apa yang awak hendak lakukan jika awak besar ?”. Pada usia yang semuda itu, sudah tentunya saya masih tidak faham maksud sebenar daripada apa yang saya akan katakan.  Papan visi atau impian saya ketika itu, sebagaimana kanak-kanak yang lain dibentuk oleh imaginasi dan fantasi daripada filem dan televisyen. Pada masa itu belum ada lagi media sosial seperti facebook atau youtube channel. Perkara “wow ! ” pada masa itu, adalah seperti ingin menjadi seperti Superboy, Batman, Superman, Flash Gordon, Man from Atlantis, Tarzan, Carribean Pirate dan pelbagai lagi seperti ditayang dalam televisyen, pawagam dan papan iklan.Kostum pakaian seperti batman dan robin berlambak dijual di pasar-pasar malam dan pusat-pusat membeli-belah kerana itu adalah era cerita batman dan robin menjadi popular. Terdapat juga cerita lucu di akhbar, kisah bagaimana seorang wanita hamil dikatakan “terkilan” dan bermimpi pada batman pada malam hari, hingga ketika melahirkan bayi lelaki kelihatannya wajah seperti batman juga.

Saya tak pasti samada itu cerita betul atau tidak, tetapi itulah apa yang wartawan laporkan. Saya juga ingat ketika membuat karangan di sekolah rendah topik rencana pendek saya adalah persoalan jika saya sudah besar saya ingin jadi apa ? Dan lucunya jawapan saya adalah ingin menjadi seperti lanun laut, dalam cerita fantasi dari sebuah filem “The Buccaneers” dan “Danger Island“.

Kemudian apabila saya besar sedikit dan mula memasuki usia 11 dan 12 tahun saya ubah impian saya. Kali ini difantasikan oleh kesan pada kerjaya, kerana waktu itu pekerjaan sebagai seorang anggota beruniform seperti polis dan bomba adalah popular. Mungkin saya terkesan dengan imajinasi aksi-aksi hebat mereka kejar pencuri dan padam api ketika dalam bertugas. Sekali lagi kesan imaginasi visual dalam minda hingga semua yang ada “wow!” akan mempengaruhi kanak-kanak seusia itu berimpiankan sedemikian.

Kini kumpulan umur milenium (lahir pada tahun 2000) fantasi atau impian mereka berlainan. Mereka dibentuk oleh imaginasi realiti maya (virtual reality), megatronik dan artifical intelligent menguasai alam visual mereka.

Sekurang-kurangnya sekarang, ketika mana kumpulan usia milenium memikirkan tentang impian, ia tidak berhenti di alam fantasi, kerana dunia teknologi tinggi dan robotik hari ini memungkinkan mereka membawa watak impiannya lebih dekat dengan realiti, walaupun masih dalam alam virtual. Teknologi avatar adalah sekadar impian kosong pada waktu dahulu, kini ternyata ia satu realiti. Pesona kumpulan millenial hari ini juga berbeza, alam Devil Wears Prada, Harry Porter dan K Pop dengan alam virtual atau avatar, adalah amat dekat dengan jiwa mereka. Ada cerita bagaimana seorang remaja istilahnya “berkahwin” dengan watak kartoon virtual reality mereka. Suatu ketika jualan buku Harry Porter (tahun 2016) mencecah sekitar 400 juta naskhah dan siri siaran K Pop mencecah hampir 300 juta penonton menunjukkan kuasa imaginasi alam rekacipta yang diwarnai oleh media sosial baru.

Papan visi fantasi mereka diwarnai oleh super hero atau super wira.

Mungkin ketika bercakap tentang impian, ada orang samakannya dengan impian sebagai “mimpi di siang hari”. Terdapat banyak faedah antara mimpi di siang hari dengan berimpian besar, apa lagi berimpian tinggi atau berwawasan tinggi. Mereka yang tiada punya impian tinggi, tiada punya matlamat dan hanya melalui kehidupannya seperti rutin yang biasa, tidak berani melayari lautan luas dan berombak. Memperjuangkan cabaran dengan impian tinggi terletak pada semangat untuk menang (tekad), berbanding dengan berjuang tanpa niat atau berimpian rendah.

Seorang pejuang kemanusiaan dan pengakap Amerika, Sir Harriet Tubman (meninggal dunia pada tahun 1913) berkata; “Bermula dengan seorang yang berimpian, akan selalu ingat dan punya kekuatan, kesabaran dan hasrat untuk mencapai bintang-bintang, bagi merubah dunia”.

Seseorang yang mempunyai papan impian atau wawasan akan mengatakan;

“Membuat papan wawasan memberi saya gambaran yang jelas tentang apa yang perlu saya merancang untuk tahun ini. Melalui usaha secara sedar ini, saya lebih sedar dan berterima kasih akan apa yang telah Tuhan kurniakan untuk saya. Saya telah melakukan sesuatu untuk beberapa tahun “.

Berimpian mampu menggerak dan mewujudkan kekuatan pada seseorang. Kebenarannya adalah seseorang itu tidak mudah akan menyerah kalah dengan impian mereka. Berimpian tinggi memberikan pertumbuhan dan kejayaan peribadi pada seseorang walaupun sekiranya gagal.

Seperti kata hikmah yang terkenal; “Jika impian anda tidak cukup menakutkan anda, tandanya ia tidak cukup besar” dan “kejayaan akan lebih cenderung, ketika mana anda memberi tumpuan pada butiran yang betul dengan cara-cara yang betul.” Setiap kejayaan bermula dengan mimpi yang besar atau tinggi.

Dalam Al Quran, itulah yang dimaksudkan oleh Nabi Sulaiman a.s dalam papan impiannya untuk mempunyai kedudukan sebagai penguasa kuasa besar atas makhluk-makhluk lain seperti jinn dan syaitan.

قَالَ رَبِّ ٱغۡفِرۡ لِى وَهَبۡ لِى مُلۡكً۬ا لَّا يَنۢبَغِى لِأَحَدٍ۬ مِّنۢ بَعۡدِىٓ‌ۖ إِنَّكَ أَنتَ ٱلۡوَهَّابُ (٣٥ )

“Wahai Tuhan!  Ampunilah saya dan berikan kepada saya kedaulatan (kuasa) seperti yang tiada tandingannya, termasuk pada mana-mana selepas saya. Ya Tuhan ! Engkau lah yang Maha Pemberi “. (Shad, 38: 35)

Seorang komentar tafsir, Moulana Mufti Muhammad Shafi dalam kitabnya Maariful Quran mengatakan bahawa mencari kuasa dunia bukan matlamat utamanya, melainkan keinginannya untuk menegakkan kuasa Ilahi dan melaksanakan undang-undang Ilahi. Allah Maha tahu bahawa nabi Sulaiman a.s mampu membuat kejayaan atas nama kebenaran pada Allah dan mengetahui bahawa Sulaiman a.s akan bekerja untuk mencapai matlamat yang sangat tinggi. Dia tidak akan membenarkan apa-apa perasaan negatif daripada kuasa pejabat dan kuasa pengiktirafan – maka dengan itu Sulaiman a.s diberikan kebenaran oleh Allah dengan doanya itu dimakbulkan.

Nabi Sulaiman a.s mengetahui tanggungjawabnya pada Tuhan yang tinggi dan dia bertanggungjawab melaksanakan hukum Ilahi. Pemimpin yang berimpian tinggi akan bermula dengan wawasan “menakutkan” atau impian besar untuk berjaya. Nabi Sulaiman a.s ingin membuat legasi dimana amalnya merentasi jauh menjangkau hayatnya. Terdapat kesamaan secara langsung antara kedudukan (jawatan), kedaulatan (kuasa) dan ganjaran selepas kematian. Ia sebahagian dari sunnatullah, impian besar datang dengan tanggungjawab yang besar dan mempercayai adanya ganjaran Allah di akhirat. Kepimpinan atau kuasa hanya merupakan tanggungjawab atau platform untuk melakukan perkara kebaikan, dan kebaikan yang lebih baik adalah dengan mematuhi perspektif syariah dalam kepimpinan. Pemimpin yang kuat adalah orang yang berani mengambil risiko yang tinggi, punya keinginan dan motivasi yang kuat untuk mencapai matlamat kejayaan yang tinggi juga hingga capai syurga Allah.

(bersambung)

  • Siri Motivasi Kehidupan – Membina legasi di tulis oleh Ustaz Mohd Jakfar, pengasas Madani Institute. Beliau juga telah menulis dan menerbitkan sebuah buku bertajukBerani Berimpian Tinggi – Membina Legasi Melepasi Kehidupan“.

Dapatkan Buku: Berani Berimpian Tinggi – Membina Legasi Melepasi Kehidupan
Layari: https://islamicevents.my/khidmah/73

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here