Close
05-Nov-2024 - 3 JamadulAwal 1446 Zuhur 13:00Asar 16:20
Submit Information
Waktu Solat: Kuala Lumpur, Putrajaya 05-Nov-2024 - 3 JamadulAwal 1446 | Subuh 05:48 | Syuruk 06:56 | Zuhur 13:00 | Asr 16:20 | Maghrib 18:58 | Ishak 20:10
Follow Updates Organisation

Masjid Ar Rahman

Masjid Ar-Rahman yang terdapat di Lembah Pantai, Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur itu mempunyai sorotan sejarahnya yang tersendiri. Penubuhan masjid ini adalah lambang satu pengorbanan dan usaha berterusan penduduk sekitarnya bersama-sama mahasiswa prihatin Universiti Malaya ketika itu.

Menyedari pada ketika itu tidak terdapat sebuah masjid di situ yang berhampiran dengan kediaman penduduk Kampung Kerinchi terutamanya dan mahasiswa Universiti Malaya untuk mereka menjalankan aktiviti keagamaan selain menunaikan kewajipan terutamanya solat Jumaat, maka satu permohonan telah diajukan ke pihak kerajaan dengan hasrat murni meminta didirikan sebuah masjid yang berhampiran dengan kawasan kediaman mereka itu.

Menurut Tan Sri Hanafiah Ahmad (bekas Pengerusi Lembaga Urusan Dan Tabung Haji) yang juga Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) ketika itu, sebuah masjid perlu didirikan di kawasann tersebut (berhampiran universiti kerana tidak ada tempat khusus bagi mahasiswa terutamanya untuk menunaikan solat jemaah terutamanya solat fardhu Jumaat dan juga solat sunat hari raya (bagi mahasiswa yang tidak dapat balik berhari raya). Ini kerana Universiti Malaya ketika itu tidak mempunyai masjidnya sendiri. Menurut beliau lagi, masjid terdekat yang berada kira-kira sebatu setengah (lebih kurang 2.5 km) dari kampus universiti, ditambah pula pada ketika itu kebanyakkan siswa universiti tidak mempunyai kenderaan sendiri untuk mereka ke sana (masjid berhampiran). Keadaan ini pula ditambah dengan kesukaran untuk mendapatkan perkhidmatan kenderaan awam seperti bas yang terhad ketika itu.

Menyedari keadaan ini, tambah Tan Sri Hanafiah lagi, pihak PMIUM pada tahun 1961 telah mengambil kata sepakat untuk mengesyorkan kepada kerajaan supaya membina sebuah masjid di kawasan universiti. Untuk itu, pihak PMIUM dengan rasa tanggungjawab telah mengirim satu surat permohonan ke Jabatan Perdana Menteri.

Pada mulanya, penduduk kampung telah mencadangkan pembinaan masjid tersebut di belakang bangunan Flat Uda, Kampung Kerinchi (tapak Balai Polis Jalan Pantai sekarang) kerana berhampiran dengan kediaman mereka. Kemudiannya, Tunku Abdul Rahman telah membuat satu cadangan balas agar masjid yang akan dibina itu didirikan di Jalan Pantai Baru di atas tanah kepunyaan Universiti Malaya. Beliau menambah sesungguhnya ia bukan sahaja berhampiran dengan kediaman penduduk di situ, tetapi juga suatu kemudahan kepada para penuntut universiti tersebut untuk turut sama menggunakannya. Cadangan daripada Tunku Abdul Rahman itu telah disambut baik oleh semua pihak.

Pada tahun 1962, Masjid Ar-Rahman telah mula dibina. Tunku Abdul Rahman telah diberi penghormatan meletakkan batu asas pembinaan masjid itu pada 6 November 1962. Pembinaan masjid ini mengambil masa lebih kurang setahun untuk disiapkan dengan jumlah perbelanjaan kira-kira RM 400.000 (suatu jumlah yang besar pada ketika itu).

Tanggal 23.08.1963, masjid yang mampu menampung sehingga 700 jemaah itu dirasmikan oleh Yang Di-Pertua Agong ketika itu, D.Y.M.M. Seri Paduka Baginda Tuanku Syed Putra Jamalullail. Menurut Tan Sri Hanafiah lagi, “Ketika saat masjid ini dirasmikan, seluruh ahli PMIUM telah menitiskan air mata kerana Masjid Ar-Rahman sekurang-kurangnya menjadi suatu lambang usaha suci mahasiswa ketika itu.” Setelah ia dirasmikan, Tunku Abdul Rahman bersama-sama dengan Prof. Diraja Ungku Aziz telah berbincang dan bersetuju untuk meletakkan pentadbiran Masjid Ar-Rahman di bawah pengurusan pihak Universiti Malaya.

Masjid tersebut bukan sahaja menjadi lambang perpaduan penuntut-penuntut Universiti Malaya, tetapi juga umat Islam sekitarnya termasuklah juga penuntut dari Institut Perguruan Bahasa Melayu (IPBM) yang sekarang menjadi (IPGM) dan juga Institut Perguruan Bahasa-Bahasa Antarabangsa (IPBA) yang terletak bersebelahan. Selain itu, ia juga telah menjadi tumpuan di kalangan kakitangan-kakitangan kerajaan mahupun swasta yang banyak terdapat di situ untuk menunaikan ibadah khususnya solat Jumaat.

Suatu yang istimewa lagi, masjid ini telah menjadi tempat persinggahan di kalangan musafir dari seluruh negara sebelum menuju ke destinasi yang dituju. Ianya juga menjadi tempat persinggahan untuk ibu bapa yang hendak menghantar anak-anak mereka masuk ke Universiti Malaya. Hal ini disebabkan oleh kedudukannya yang begitu strategik dan bersebelahan dengan pintu masuk utama Universiti Malaya dari arah Pantai Baru serta mudah untuk dikunjungi sama ada mereka datang dari utara mahupun selatan.

Masjid Ar-Rahman ini pada mulanya dikenali sebagai Masjid Universiti Tanah Melayu. Tidak berapa lama selepas itu, barulah ia ditukar pada nama seperti mana sekarang. Ar-Rahman adalah salah satu daripada nama-nama Allah s.w.t. yang bermaksud “Yang Maha Pengasih atau Penyayang”. Namun demikian, Ar-Rahman yang dinisbahkan ke atas masjid ini adalah bersempena dengan nama Perdana Menteri Malaysia ketika itu iaitu Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj yang merupakan pengasas yang memainkan peranan yang sangat besar dalam usaha penubuhannya. Pada masa itu, penduduk-penduduk dari kira-kira 15 buah kariah atau kampung yang hadir ke Masjid Ar-Rahman untuk solat berjemaah disitu.
Pada tahun 1988, Masjid Ar-Rahman itu telah dibaikpulih serta dinaiktaraf dengan kerjasama daripada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) yang mana telah menanggung segala kos baik pulih dan naiktaraf tersebut. Sebaik sahaja usaha-usaha tersebut selesai, pihak JAWI telah mengambil alih pentadbiran masjid tersebut daripada Universiti Malaya dan terus kekal sehingga hari ini.

Location

Masjid Ar Rahman

Jalan Pantai Baru, 59200 Kuala Lumpur

Other Organisations to Follow